Penulisan
Esei Tidak Berformat - Isu Program Motivasi
Soalan Contoh
Program motivasi yang dianjurkan oleh pelbagai pihak bertujuan untuk
membantu kecemerlangan pelajar dari pelbagai aspek. Huraikan kelebihan program
tersebut kepada pelajar.
Rangka Esei
Pendahuluan
- pelbagai program motivasi dianjurkan oleh pelbagai pihak untuk
kecemerlangan akademik dan
sahsiah
Isi-isi Penting
i. melatih
pelajar dari aspek ketahanan diri dan bersikap yakin diri
ii. murid
didedahkan tentang teknik belajar dan teknik menjawab soalan
iii. teknik mengurus
masa secara bijaksana
iv. mencungkil potensi pelajar melalui aktiviti berkumpulan
v. menekankan nilai
keagamaan dan kerohanian
Penutup
- program motivasi
merupakan medan terbaik untuk mendisiplinkan diri dan menjadi insan yang cemerlang
Esei Contoh
Program motivasi yang telah
dianjurkan oleh pelbagai pihak adalah untuk manfaat pelajar. Perkara ini turut
diuar-uarkan menerusi media massa untuk kecemerlangan pelajar dalam peperiksaan
awam. Program motivasi seperti Kem Bina Minda Cemerlang, Kem Motivasi Cuti
Sekolah, Summer Camp Anak Soleh dan sebagainya menjadi mangkin kecemerlangan
pelajar. Dengan menyertai program motivasi itu, pelajar bukan sahaja dapat
mencapai kecemerlangan dalam akademik tetapi juga kecemerlangan dalam sahsiah.
Oleh sebab itu, terdapat pelbagai perkara yang menyebabkan program motivasi
yang dianjurkan oleh pihak sekolah dan swasta itu dapat membantu kecemerlangan pelajar.
Program motivasi itu melatih
pelajar dari aspek ketahanan dan sikap yakin diri. Hal ini dikatakan demikian kerana
selepas mengikuti program itu, para pelajar mampu menghadapi cabaran dalam
pelajaran dan dalam kehidupan. Sebagai contohnya, dalam program motivasi itu
para pelajar didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang menguji ketahan fizikal
dan keyakinan diri para pelajar. Pengalaman dan pendedahan itu membolehkan para
pelajar bersiap sedia untuk menghadapi sebarang cabaran yang pastinya akan
dihadapi oleh setiap orang. Jadi, perkara ini membuktikan bahawa program
motivasi berupaya untuk meningkatkan daya tahan pelajar untuk menempuh
kehidupan yang penuh dengan cabaran.
Selain itu, dalam program
motivasi itu juga, para pelajar didedahkan tentang teknik belajar dan teknik
menjawab soalan yang betul. Penganjur program kebiasaannya akan menyediakan
pakar-pakar yang mahir dalam kemahiran belajar, ibarat jauhari yang mengenal
manikam. Melalui cara itu, para pelajar akan menggunakan pengetahuan mereka
untuk belajar secara berkesan selepas menamatkan program tersebut. Di samping
itu, para pelajar dapat mengetahui teknik untuk menjawab soalan seperti yang
dikehendaki oleh pemeriksa dalam peperiksaan. Jelaslah bahawa program ini
memberikan kebaikan yang banyak kepada pelajar untuk mencapai kecemerlangan
dalam peperiksaan.
Melalui program motivasi ini,
para pelajar diperkenalkan tentang teknik mengurus masa yang berkesan. Perkara itu dapat membantu pelajar mengurus
masa dengan bijaksana dan berkesan. Jadi, aktiviti seharian pelajar dapat
dijalankan secara teratur kerana masa mereka terisi dengan perkara yang sesuai
dan berfaedah. Sebagai contohnya, program seperti itu membantu pelajar membuat
perancangan aktiviti harian, mingguan dan bulanan yang berkesan untuk manfaat
pelajar. Hal ini memang membuktikan bahawa program tersebut berupaya untuk
menjadikan pelajar itu bijak mengurus masa kerana masa itu emas.
Program motivasi yang dijalankan
itu turut mencungkil potensi pelajar dalam pelbagai bidang. Hal ini dapat
dilihat melalui aktiviti berkumpulan yang dimasukkan sebagai pengisian program
yang penting. Melalui aktiviti tersebut, pelajar akan sedar akan potensi diri
sendiri yang selama ini terpendam kerana tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia
tiada yang tahu. Di samping itu, program seperti itu dapat membantu murid agar
sentiasa bersikap dan berfikiran positif dalam apa-apa aktiviti yang dilakukan.
Potensi diri yang terpendam itu pula dapat digilap dan dibimbing ke arah yang
lebih baik demi kemajuan diri pelajar dalam segenap bidang.
Tidak ketinggalan juga, program
motivasi turut menekankan nilai keagamaan dalam diri pelajar. Para pelajar akan
sedar akan tanggungjawab mereka terhadap diri, keluarga, masyarakat, negara,
dan agama. Pihak penganjur program biasanya akan menyediakan pakar motivasi
dalam bidang agama untuk membimbing pelajar ke arah penghayatan terhadap agama
yang sebenar. Pakar-pakar itu akan menekankan aspek pengetahuan, kefahaman dan
penghayatan terhadap tanggungjawab setiap insan terhadap pencipta-Nya. Secara
tidak langsung, perkara ini akan membentuk sahsiah dan memantapkan aspek
kerohanian yang cemerlang dalam kalangan pelajar yang menyertai program itu.
Sebagai kesimpulannya, program
motivasi merupakan medan yang terbaik untuk setiap pelajar mendisiplinkan diri
dan menjadi insan yang cemerlang. Oleh sebab itu, ibu bapa perlulah menghantar
anak mereka untuk menyertai program motivasi yang sesuai untuk anak-anak
mereka. Jangan biarkan masa anak-anak terbiar dan tidak diisi dengan aktiviti
yang tidak berfaedah semasa cuti sekolah yang panjang. Jadi, ibu bapa harus memberikan galakan dan
menyokong usaha pelbagai pihak yang menganjurkan program itu untuk kebaikan
anak-anak mereka. Dengan cara itu, kita berharap agar para pelajar ini akan
menjadi orang yang cemerlang dalam pelajaran dan berjaya dalam kehidupan
mereka.
( 613 perkataan )
No comments:
Post a Comment