Thursday, August 21, 2014

Penulisan Esei Tidak Berformat - Isu Program Motivasi
Soalan Contoh
Program motivasi yang dianjurkan oleh pelbagai pihak bertujuan untuk membantu kecemerlangan pelajar dari pelbagai aspek. Huraikan kelebihan program tersebut kepada pelajar.

Rangka Esei

Pendahuluan
-               pelbagai program motivasi dianjurkan oleh pelbagai pihak untuk kecemerlangan akademik dan 
sahsiah

Isi-isi Penting
i.             melatih pelajar dari aspek ketahanan diri dan bersikap yakin diri
ii.            murid didedahkan tentang teknik belajar dan teknik menjawab soalan
iii.           teknik mengurus masa secara bijaksana
iv.           mencungkil potensi pelajar  melalui aktiviti berkumpulan
v.            menekankan nilai keagamaan dan kerohanian

Penutup
-           program motivasi merupakan medan terbaik untuk mendisiplinkan diri dan menjadi insan                 yang cemerlang


Esei Contoh

Program motivasi yang telah dianjurkan oleh pelbagai pihak adalah untuk manfaat pelajar. Perkara ini turut diuar-uarkan menerusi media massa untuk kecemerlangan pelajar dalam peperiksaan awam. Program motivasi seperti Kem Bina Minda Cemerlang, Kem Motivasi Cuti Sekolah, Summer Camp Anak Soleh dan sebagainya menjadi mangkin kecemerlangan pelajar. Dengan menyertai program motivasi itu, pelajar bukan sahaja dapat mencapai kecemerlangan dalam akademik tetapi juga kecemerlangan dalam sahsiah. Oleh sebab itu, terdapat pelbagai perkara yang menyebabkan program motivasi yang dianjurkan oleh pihak sekolah dan swasta itu dapat  membantu kecemerlangan pelajar.
Program motivasi itu melatih pelajar dari aspek ketahanan dan sikap yakin diri. Hal ini dikatakan demikian kerana selepas mengikuti program itu, para pelajar mampu menghadapi cabaran dalam pelajaran dan dalam kehidupan. Sebagai contohnya, dalam program motivasi itu para pelajar didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang menguji ketahan fizikal dan keyakinan diri para pelajar. Pengalaman dan pendedahan itu membolehkan para pelajar bersiap sedia untuk menghadapi sebarang cabaran yang pastinya akan dihadapi oleh setiap orang. Jadi, perkara ini membuktikan bahawa program motivasi berupaya untuk meningkatkan daya tahan pelajar untuk menempuh kehidupan yang penuh dengan cabaran.
Selain itu, dalam program motivasi itu juga, para pelajar didedahkan tentang teknik belajar dan teknik menjawab soalan yang betul. Penganjur program kebiasaannya akan menyediakan pakar-pakar yang mahir dalam kemahiran belajar, ibarat jauhari yang mengenal manikam. Melalui cara itu, para pelajar akan menggunakan pengetahuan mereka untuk belajar secara berkesan selepas menamatkan program tersebut. Di samping itu, para pelajar dapat mengetahui teknik untuk menjawab soalan seperti yang dikehendaki oleh pemeriksa dalam peperiksaan. Jelaslah bahawa program ini memberikan kebaikan yang banyak kepada pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Melalui program motivasi ini, para pelajar diperkenalkan tentang teknik mengurus masa yang berkesan.  Perkara itu dapat membantu pelajar mengurus masa dengan bijaksana dan berkesan. Jadi, aktiviti seharian pelajar dapat dijalankan secara teratur kerana masa mereka terisi dengan perkara yang sesuai dan berfaedah. Sebagai contohnya, program seperti itu membantu pelajar membuat perancangan aktiviti harian, mingguan dan bulanan yang berkesan untuk manfaat pelajar. Hal ini memang membuktikan bahawa program tersebut berupaya untuk menjadikan pelajar itu bijak mengurus masa kerana masa itu emas.
Program motivasi yang dijalankan itu turut mencungkil potensi pelajar dalam pelbagai bidang. Hal ini dapat dilihat melalui aktiviti berkumpulan yang dimasukkan sebagai pengisian program yang penting. Melalui aktiviti tersebut, pelajar akan sedar akan potensi diri sendiri yang selama ini terpendam kerana tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada yang tahu. Di samping itu, program seperti itu dapat membantu murid agar sentiasa bersikap dan berfikiran positif dalam apa-apa aktiviti yang dilakukan. Potensi diri yang terpendam itu pula dapat digilap dan dibimbing ke arah yang lebih baik demi kemajuan diri pelajar dalam segenap bidang.
Tidak ketinggalan juga, program motivasi turut menekankan nilai keagamaan dalam diri pelajar. Para pelajar akan sedar akan tanggungjawab mereka terhadap diri, keluarga, masyarakat, negara, dan agama. Pihak penganjur program biasanya akan menyediakan pakar motivasi dalam bidang agama untuk membimbing pelajar ke arah penghayatan terhadap agama yang sebenar. Pakar-pakar itu akan menekankan aspek pengetahuan, kefahaman dan penghayatan terhadap tanggungjawab setiap insan terhadap pencipta-Nya. Secara tidak langsung, perkara ini akan membentuk sahsiah dan memantapkan aspek kerohanian yang cemerlang dalam kalangan pelajar yang menyertai program itu.
Sebagai kesimpulannya, program motivasi merupakan medan yang terbaik untuk setiap pelajar mendisiplinkan diri dan menjadi insan yang cemerlang. Oleh sebab itu, ibu bapa perlulah menghantar anak mereka untuk menyertai program motivasi yang sesuai untuk anak-anak mereka. Jangan biarkan masa anak-anak terbiar dan tidak diisi dengan aktiviti yang tidak berfaedah semasa cuti sekolah yang panjang. Jadi,  ibu bapa harus memberikan galakan dan menyokong usaha pelbagai pihak yang menganjurkan program itu untuk kebaikan anak-anak mereka. Dengan cara itu, kita berharap agar para pelajar ini akan menjadi orang yang cemerlang dalam pelajaran dan berjaya dalam kehidupan mereka.

( 613 perkataan )
Masalah Kelemahan Penguasaan Tatabahasa Melayu
( Untuk Renungan Pelajar BM Tingkatan 6 )

Masalah kelemahan penguasaan tatabahasa Melayu dalam kalangan pelajar begitu ketara. Dalam hal ini saya selaku guru Bahasa Melayu Tingkatan Enam begitu terasa apabila mengajar Bahasa Melayu 1 yang menfokuskan kepada tatabahasa dalam bab Morfologi dan Sintaksis. Bayangkan pelajar yang sudah melalui pembelajaran bahasa Melayu bermula di sekolah rendah hingga sekolah menengah gagal menguasai asas tatabahasa Melayu. Sebahagian besar pelajar tidak dapat menyatakan golongan kata seperti kata nama,kata kerja dan kata adjektif apa lagi menyatakan jenis kata yang tergolong dalam kata tugas.

Pelajar juga masih ragu-ragu untuk menyatakan sesuatu kata yang diberikan sama ada tergolong dalam kata kerja, kata nama atau kata adjektif. Dari sudut yang lain pula pelajar sepertinya juga sukar untuk memahami konsep pembentukan kata seperti kata tunggal, kata terbitan, kata ganda dan kata majmuk apa lagi untuk memahami konsep pembentukan ayat. Persoalannya mengapakah perkara ini berlaku dan kepada siapakah perkara ini akan kita pertanggungjawabkan?

Pada pandangan saya, terdapat beberapa punca perkara ini berlaku. Antaranya sikap pelajar sendiri yang memandang remeh tentang kepentingan mempelajari tatabahasa Melayu. Yang penting bagi mereka ialah mereka dapat bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu. Mereka lebih dipengaruhi oleh kebiasaan dalam membina ayat-ayat dalam penulisan bukannya mengaitkannya dengan pembelajaran tatabahasa untuk menghindari kesalahan dalam binaan ayat. Maka tidak hairanlah ada pelajar yang melakukan kesalahan dalam setiap binaan ayat sama ada kesalahan ejaan, pengimbuhan, pemilihan kata atau struktur ayat.

Kelemahan penguasaan tatabahasa juga berpunca daripada sistem pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu yang tidak menitiberatkan rumus-rumus tatabahasa dalam pembelajaran bahkan aspek tatabahasa tidak diajar secara langsung. Soalan-soalan yang dikemukakan dalam peperiksaan sama ada PMR atau SPM tidak memerlukan pelajar mengingati dan mengemukakan rumus-rumus tatabahasa dalam jawapan mereka. Sehubungan itu sudah tentu pelajar berasa mereka tidak perlu bersusah payah mengingati rumus-rumus tatabahasa.

Dalam hal ini saya telah meminta pelajar-pelajar saya menyediakan suatu kajian tentang masalah kelemahan penguasaan tatabahasa Melayu dalam kalangan pelajar untuk melihat secara jelas tentang permasalahan ini. Banyak persoalan yang harus dikemukakan kepada kelompok pelajar sasaran dalam kajian ini demi mencari jawapan sebenar tentang permasalahan ini. Saya ingin mencadangkan kepada mereka dalam soal selidik kemukakan soalan-soalan berikut:
1.         Adakah anda menganggap tatabahasa lebih penting daripada aspek lain seperti penulisan dan 
            pemahaman?
2.         Adakah guru bahasa Melayu menekankan aspek tatabahasa dalam pengajaran mereka?
3.         Adakah anda menganggap anda perlu mengingati rumus-rumus tatabahasa?
4.         Adakah anda menganggap pembelajaran tatabahasa dapat membantu anda dalam penulisan?
5.     Adakah anda berasa perlu untuk menanyakan perkara yang berkait tatabahasa dalam penulisan  kepada guru anda?
6.         Pernahkah anda menanyakan guru anda tentang kemusykilan tatabahasa?
7.         Berapa kalikah anda mendapat latihan yang berkait tatabahasa daripada guru anda dalam sebulan?
8.         Adakah anda berasa perlu membuat kerja rumah tentang tatabahasa?
9.         Adakah anda yakin bahawa anda boleh menjawab soalan berkait tatabahasa dalam peperiksaan?
10.       Jika soalan tatabahasa dikemukakan secara teori adakah anda yakin boleh menjawab dengan baik?
11.   Dalam peperiksaan bahagian manakah anda berasa bimbang? (sama ada karangan, rumusan, pemahaman atau tatabahasa)
12.      Adakah anda berasa anda perlu lebih memberi tumpuan kepada aspek tatabahasa berbanding aspek lain dalam pembelajaran bahasa Melayu?


Persoalan di atas adalah sebahagian daripada perkara yang boleh dikaitkan dengan punca kelemahan pelajar dalam tatabahasa yang berhubung dengan persepsi dan keyakinan. Harap pelajar bersedia memikirkan aspek-aspek lain yang boleh ditanya.