Masalah
Kelemahan Penguasaan Tatabahasa Melayu
( Untuk
Renungan Pelajar BM Tingkatan 6 )
Masalah kelemahan penguasaan tatabahasa Melayu
dalam kalangan pelajar begitu ketara. Dalam hal ini saya selaku guru Bahasa
Melayu Tingkatan Enam begitu terasa apabila mengajar Bahasa Melayu 1 yang
menfokuskan kepada tatabahasa dalam bab Morfologi dan Sintaksis. Bayangkan
pelajar yang sudah melalui pembelajaran bahasa Melayu bermula di sekolah rendah
hingga sekolah menengah gagal menguasai asas tatabahasa Melayu. Sebahagian
besar pelajar tidak dapat menyatakan golongan kata seperti kata nama,kata kerja
dan kata adjektif apa lagi menyatakan jenis kata yang tergolong dalam kata
tugas.
Pelajar juga masih ragu-ragu untuk menyatakan
sesuatu kata yang diberikan sama ada tergolong dalam kata kerja, kata nama atau
kata adjektif. Dari sudut yang lain pula pelajar sepertinya juga sukar untuk
memahami konsep pembentukan kata seperti kata tunggal, kata terbitan, kata
ganda dan kata majmuk apa lagi untuk memahami konsep pembentukan ayat.
Persoalannya mengapakah perkara ini berlaku dan kepada siapakah perkara ini
akan kita pertanggungjawabkan?
Pada pandangan saya, terdapat beberapa punca
perkara ini berlaku. Antaranya sikap pelajar sendiri yang memandang remeh
tentang kepentingan mempelajari tatabahasa Melayu. Yang penting bagi mereka
ialah mereka dapat bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu. Mereka lebih
dipengaruhi oleh kebiasaan dalam membina ayat-ayat dalam penulisan bukannya
mengaitkannya dengan pembelajaran tatabahasa untuk menghindari kesalahan dalam
binaan ayat. Maka tidak hairanlah ada pelajar yang melakukan kesalahan dalam
setiap binaan ayat sama ada kesalahan ejaan, pengimbuhan, pemilihan kata atau
struktur ayat.
Kelemahan penguasaan tatabahasa juga berpunca
daripada sistem pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu yang tidak
menitiberatkan rumus-rumus tatabahasa dalam pembelajaran bahkan aspek
tatabahasa tidak diajar secara langsung. Soalan-soalan yang dikemukakan dalam
peperiksaan sama ada PMR atau SPM tidak memerlukan pelajar mengingati dan
mengemukakan rumus-rumus tatabahasa dalam jawapan mereka. Sehubungan itu sudah
tentu pelajar berasa mereka tidak perlu bersusah payah mengingati rumus-rumus
tatabahasa.
Dalam hal ini saya telah meminta pelajar-pelajar
saya menyediakan suatu kajian tentang masalah kelemahan penguasaan tatabahasa
Melayu dalam kalangan pelajar untuk melihat secara jelas tentang permasalahan
ini. Banyak persoalan yang harus dikemukakan kepada kelompok pelajar sasaran
dalam kajian ini demi mencari jawapan sebenar tentang permasalahan ini. Saya
ingin mencadangkan kepada mereka dalam soal selidik kemukakan soalan-soalan
berikut:
1. Adakah
anda menganggap tatabahasa lebih penting daripada aspek lain seperti penulisan
dan
pemahaman?
2. Adakah
guru bahasa Melayu menekankan aspek tatabahasa dalam pengajaran mereka?
3. Adakah
anda menganggap anda perlu mengingati rumus-rumus tatabahasa?
4. Adakah
anda menganggap pembelajaran tatabahasa dapat membantu anda dalam penulisan?
5. Adakah
anda berasa perlu untuk menanyakan perkara yang berkait tatabahasa dalam
penulisan kepada guru anda?
6. Pernahkah
anda menanyakan guru anda tentang kemusykilan tatabahasa?
7. Berapa
kalikah anda mendapat latihan yang berkait tatabahasa daripada guru anda dalam
sebulan?
8. Adakah
anda berasa perlu membuat kerja rumah tentang tatabahasa?
9. Adakah
anda yakin bahawa anda boleh menjawab soalan berkait tatabahasa dalam
peperiksaan?
10. Jika
soalan tatabahasa dikemukakan secara teori adakah anda yakin boleh menjawab
dengan baik?
11. Dalam
peperiksaan bahagian manakah anda berasa bimbang? (sama ada karangan, rumusan,
pemahaman atau tatabahasa)
12. Adakah
anda berasa anda perlu lebih memberi tumpuan kepada aspek tatabahasa berbanding
aspek lain dalam pembelajaran bahasa Melayu?
Persoalan di atas adalah sebahagian daripada
perkara yang boleh dikaitkan dengan punca kelemahan pelajar dalam tatabahasa
yang berhubung dengan persepsi dan keyakinan. Harap pelajar bersedia memikirkan
aspek-aspek lain yang boleh ditanya.
No comments:
Post a Comment